Sabtu, 10 Oktober 2020 11:47 AM MYT |
Oleh Hadi AB Manap |
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah berkenan memakai riben hijau sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, hari ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Tengku Puteri Iman Afzan adalah Penaung Antarabangsa untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia bagi tahun 2020 setelah menerima undangan daripada Gabungan Badan-Badan Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini.
Dalam perutusannya, Tengku Puteri Iman Afzan mengajak rakyat dan kerajaan di seluruh dunia bersatu dalam usaha memartabatkan kesihatan mental kerana ia adalah tanggungjawab semua.